Halaman

Khamis, 5 Julai 2012

Edisi ADOI

ADOI?

Sengaja saya letakkan istilah itu. Sebenarnya, ADOI yang saya maksudkan ialah kependekan bagi "Akan Datang Oktober Ini".

Apakah yang akan datang Oktober ini?

Novel terbaharu saya.

Walau bagaimanapun, buat masa ini saya terpaksa merahsiakan dahulu judulnya atas permintaan penerbit. Judulnya masih diembargo. Kisahnya juga masih diembargo.

Cuma yang saya boleh berikan ialah draf kulit hadapan novel ini dengan judulnya ditutup. Harap ini boleh memberikan sedikit rasa keterujaan.

Sekurang-kurangnya ini menjadi penyuntik semangat kepada saya.

Selasa, 3 April 2012

Sedu seketika

Seperti yang semua maklum, Transgenesis: Bisikan Rimba diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd di bawah imprint PTS Fortuna. Novel kedua saya ini terbit pada tahun 2008 yang lalu. Imprint PTS Fortuna juga sudah tidak ada sekarang kerana telah dijenamakan semula sebagai sebuah anak syarikat PTS iaitu PTS Pop.

Sememangnya kisah ini saya rangka supaya menjadi sebuah trilogi. Bagaimanapun, disebabkan fokus saya kepada tesis PhD, maka penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi perlahan. Alhamdulillah, sambungan kisah ini telah saya siapkan pada tahun ini. Mengikut prosedurnya, saya perlu menghantar kertas cadangan kepada pihak penerbit. Kertas cadangan tersebut diserahkan pada awal bulan Mac yang lalu.

Saya baru dimaklumkan bahawa cadangan bagi sekuel Transgenesis ini telah ditolak oleh penerbit. Saya mendapat gambaran bahawa fokus penerbit ialah kepada genre-genre yang lebih menguntungkan (atau dalam istilah yang dipopularkan oleh penerbit, "laku keras"). Dari segi jualan, Transgenesis: Bisikan Rimba tidak meletup. Jualannya biasa-biasa sahaja (walaupun diulang cetak sekali kerana pembelian terus oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2009 yang lalu).

Walaupun sedikit kecewa, saya tetap menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Sebagai penerbit, sudah tentu pertimbangan ekonomi menjadi pertimbangan paling utama. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap yang berlaku memang ada hikmahnya. Ini hanya cabaran sementara yang boleh diatasi, ibarat tersentak seketika akibat sedu yang berlaku tiba-tiba.

Cuma, saya harap para pembaca dapat bersabar sedikit masa lagi dalam menghadapi perkembangan terbaharu ini. Saya perlu menimbangkan beberapa pilihan yang ada bagi menerbitkan sambungan Transgenesis. Pilihan yang ada (yang dapat difikirkan buat masa ini) ialah sama ada mencari penerbit lain atau menerbitkan sendiri novel ini.

Sementara itu saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada PTS Publications & Distributors atas kepercayaan yang diberikan menerusi penerbitan Transgenesis: Bisikan Rimba pada tahun 2008 yang lalu. Novel ini telah menjadikan nama "Amir Husaini" sinonim dengan genre fiksyen sains.

Rabu, 21 Mac 2012

Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Ali Majod

Petang semalam, saya menerima berita kematian Tuan Haji Ali Majod, seorang penulis buku kanak-kanak dan awal remaja yang pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terus-terang saya katakan yang saya tidak pernah bertemu atau bersua muka dengan Allahyarham sebelum ini. Saya hanya mengenali Allahyarham daripada rakan-rakan yang pernah bertugas dengan Allahyarham.

Walaupun saya tidak pernah mengenali Allahyarham secara dekat, Allahyarham sebenarnya telah meninggalkan satu kesan yang amat besar dalam hidup saya sebagai seorang penulis kreatif.

Saya siap menulis manuskrip novel pertama saya sekitar tahun 1998. Pada waktu itu, saya teragak-agak untuk menghantarkan manuskrip itu kepada mana-mana penerbit kerana kurang yakin dengan kualiti penulisan sendiri. Seorang sahabat yang pernah bertugas di DBP memberikan manuskrip dengan tajuk Ombak Senja itu kepada Allahyarham untuk diulas.

Berikut ulasan Allahyarham yang masih saya simpan sehingga hari ini:

Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.

Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya. 

Saya sebenarnya terhutang budi kepada Allahyarham Haji Ali Majod. Jika tidak kerana ulasannya ini, saya fikir saya mungkin akan terus memendam manuskrip Ombak Senja, dan mungkin juga tidak menulis Transgenesis: Bisikan Rimba dan cerpen-cerpen yang lain. Mungkin perjalanan hidup saya sebagai penulis dengan nama pena "Amir Husaini" tidak berlaku.

Saya amat menghargai suntikan semangat yang diberikan oleh Allahyarham. Walaupun tidak pernah bertemu muka, suntikan semangat ini amat besar maknanya kepada saya.

Semoga roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Al-Fatihah.

Ahad, 28 Ogos 2011

Sudah hampir ke garisan penamat

Insya-Allah, sudah hampir.

Proses penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba sudah berada di fasa terakhir. Saya juga sudah mengemaskan jalan cerita sambungan ini. Walaupun proses penulisan belum berakhir, hakikatnya saya terasa sedikit lega kerana sudah hampir melangsaikan hutang yang tertunggak ini.

Transgenesis: Bisikan Rimba terbit pada tahun 2009 yang lalu. Sudah dua tahun namun sambungannya masih belum terbit. Insya-Allah saya berharap sambungan kisah ini akan menemui pembaca pada awal 2012 nanti. Walaupun penulisan siap nanti, manuskrip ini masih perlu melalui proses penyuntingan, reka letak dan percetakan sebelum buku ini berada di pasaran.

Bagaimanakah kisahnya kali ini? Apakah pengembaraan yang akan dilalui oleh Flora dan watak-watak lain? Saya harap pembaca dapat bersabar. Saya berdoa kisah ini tidak mengecewakan pembaca.

Apa pula tajuk sambungan ini? Keputusan akhir berada di tangan penerbit, namun tajuk yang saya cadangkan ialah:
TRANSGENES2S: MAWAR TANPA KUNTUM

Khamis, 25 Ogos 2011

Salam lebaran

Bulan Ramadan al-Mubarak kini sampai ke hari-hari terakhir. Semoga kita semua beroleh keberkatan dan keampunan sempena bulan yang penuh mulia ini. Adakah kita akan menemui Ramadan pada tahun akan datang? Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui. Marilah kita berdoa semoga hayat kita dipanjangkan dengan harapan dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan barakah ini, insya-Allah.

Saya sedang mengusahakan dua manuskrip serentak. Agak sukar juga untuk melakukan perkara ini tetapi saya gagahkan juga. Satu manuskrip sudah pastilah sambungan kisah Transgenesis: Bisikan Rimba manakala satu lagi ialah manuskrip bertajul "Detik" bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi musim kedua. Doakan semua urusan penulisan berjalan lancar.

Bersempena dengan Aidilfitri yang bakal menjelang, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kekurangan, kesilapan dan kesalahan pada masa lalu. Semoga Aidilfitri ini menjadi permulaan terbaik bagi hari-hari mendatang, insya-Allah.

Sabtu, 25 Jun 2011

Mencari ketenangan

Menulis bukan suatu perkara yang mudah. Ketenangan amat diperlukan untuk menulis. Ada masanya, idea untuk menulis ada tetapi tanpa ketenangan, idea di dalam minda sukar diterjemahkan dalam bentuk perkataan.

Bagi saya, ketenangan tidak boleh dibuat-buat tetapi ia boleh dirangsang menerusi ungkapan zikir, alunan irama yang indah, suasana persekitaran yang tenteram, bunyi-bunyian alam yang memukau dan sebagainya. Lain orang mempunyai cara yang berbeza untuk mencari ketenangan.

Saya perlukan ketenangan untuk menulis. Semoga ketenangan hadir dalam diri ini.

Sabtu, 18 Jun 2011

Berhenti menulis

Ada ketikanya mahu sahaja saya berhenti menulis.

Saya menulis kerana minat. Saya menulis kerana mahu berkongsi pemikiran.

Saya bukan penulis sepenuh masa. Saya juga bukan penulis profesional, sekadar penulis amatur yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Dunia penulisan juga bukan dunia saya mencari rezeki kerana saya ada pekerjaan tetap.

Saya bukan orang yang meletakkan harga apabila diminta membuat atau menyiapkan sesuatu. Saya akan membantu jika termampu. Kelemahan saya yang saya sendiri akui ialah saya tidak pandai menolak apabila ada yang meminta bantuan.

Jika saya salah, silakan tegur. Tetapi tegur secara bijaksana dan berhemah. Saya boleh menerima teguran tetapi berikan saya ruang untuk mempertahankan perkara yang dilakukan.

Jangan sampai saya menyesal menghulurkan bantuan kerana saya juga punya maruah.

Dan jangan sampai saya berhenti terus daripada menulis.

Selasa, 7 Jun 2011

Latar penceritaan fiksyen sains

Lazimnya kisah-kisah fiksyen sains menggunakan salah satu latar berikut:

  1. Masa hadapan yang sudah hancur (distopia)
  2. Masa hadapan yang sempurna (utopia)
  3. Latar angkasa lepas atau planet lain
  4. Masa lampau 
  5. Realiti silih ganti
Saya secara peribadi cenderung menggunakan latar realiti masa sekarang dengan menjukstaposisikan elemen fiksyen sains pada latar tersebut. Contohnya seperti kisah Transgenesis: Bisikan Rimba. Kisah ini menggunakan latar penceritaan zaman sekarang (dengan imbas kembali kepada zaman Perang Dunia Kedua) sambil melontarkan soalan apa akan berlaku sekiranya teknologi pengubahsuaian genetik manusia benar-benar wujud.

Saya gemarkan pendekatan ini kerana pendekatan ini menjadikan penceritaan nampak lebih realistik, dan saya suka meletakkan pembaca tertanya-tanya apakah mungkin teknologi itu sudah wujud. Ini ditambah dengan pencampuran fakta sains (perkara yang sememangnya wujud) dengan fiksyen sains (perkara yang belum tentu boleh berlaku atau tidak mungkin berlaku). Melalui cara ini, saya mengajak pembaca berfikir untuk membezakan antara perkara realiti dan perkara fiksyen.

Insya-Allah, di dalam sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba nanti, saya akan mengekalkan pendekatan penceritaan yang sama.

[Sebagai tambahan, penceritaan filem "X-Men: First Class" juga menggunakan pendekatan yang sama apabila meletakkan elemen fiksyen sains di celah-celah sejarah yang memang berlaku.]

Ahad, 29 Mei 2011

Kembali berkarya Jun ini

Alhamdulillah, penulisan tesis doktorat telah berjaya diselesaikan. Sekurang-kurangnya satu beban terasa "diangkat". Ringan sedikit rasa bahu ini.

Ini juga bermakna saya mempunyai lebih masa, insya-Allah, untuk kembali berkarya. Insya-Allah bermula pada bulan Jun yang akan bermula tidak lama lagi, saya akan menyambung semula penulisan sambungan kisah Transgenesis: Bisikan Rimba. Doakan semoga saya diberikan kekuatan dan kesihatan.

Sabtu, 21 Mei 2011

Di Bawah Panji-panji Hitam

Bakal menemui pembaca sedikit masa lagi dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris tulisan L. Ron Hubbard yang judul asalnya Under the Black Ensign. Versi bahasa Melayu ini diterjemahkan oleh saya dengan judul Di Bawah Panji-panji Hitam. Kisah ini ialah sebuah kisah lanun pada zaman British dan Sepanyol masih lagi sebuah empayar yang menguasai samudera.

Ada tiga lagi judul yang diterjemahkan seperti berikut:

  1. Budak Hingusan terjemahan Mohd Rezuan Masran. Judul asal The Chee Chalker.
  2. Pembunuh Perisik terjemahan Muhammad Zaki Ramli. Judul asal Spy Killer.
  3. Seandainya Aku Kamu terjemahan Naziah Omar. Judul asal If I Were You.
Maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik judul-judul ini berada di pasaran.