Ahad, 28 Ogos 2011

Sudah hampir ke garisan penamat

Insya-Allah, sudah hampir.

Proses penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba sudah berada di fasa terakhir. Saya juga sudah mengemaskan jalan cerita sambungan ini. Walaupun proses penulisan belum berakhir, hakikatnya saya terasa sedikit lega kerana sudah hampir melangsaikan hutang yang tertunggak ini.

Transgenesis: Bisikan Rimba terbit pada tahun 2009 yang lalu. Sudah dua tahun namun sambungannya masih belum terbit. Insya-Allah saya berharap sambungan kisah ini akan menemui pembaca pada awal 2012 nanti. Walaupun penulisan siap nanti, manuskrip ini masih perlu melalui proses penyuntingan, reka letak dan percetakan sebelum buku ini berada di pasaran.

Bagaimanakah kisahnya kali ini? Apakah pengembaraan yang akan dilalui oleh Flora dan watak-watak lain? Saya harap pembaca dapat bersabar. Saya berdoa kisah ini tidak mengecewakan pembaca.

Apa pula tajuk sambungan ini? Keputusan akhir berada di tangan penerbit, namun tajuk yang saya cadangkan ialah:
TRANSGENES2S: MAWAR TANPA KUNTUM

Khamis, 25 Ogos 2011

Salam lebaran

Bulan Ramadan al-Mubarak kini sampai ke hari-hari terakhir. Semoga kita semua beroleh keberkatan dan keampunan sempena bulan yang penuh mulia ini. Adakah kita akan menemui Ramadan pada tahun akan datang? Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui. Marilah kita berdoa semoga hayat kita dipanjangkan dengan harapan dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh dengan barakah ini, insya-Allah.

Saya sedang mengusahakan dua manuskrip serentak. Agak sukar juga untuk melakukan perkara ini tetapi saya gagahkan juga. Satu manuskrip sudah pastilah sambungan kisah Transgenesis: Bisikan Rimba manakala satu lagi ialah manuskrip bertajul "Detik" bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi musim kedua. Doakan semua urusan penulisan berjalan lancar.

Bersempena dengan Aidilfitri yang bakal menjelang, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kekurangan, kesilapan dan kesalahan pada masa lalu. Semoga Aidilfitri ini menjadi permulaan terbaik bagi hari-hari mendatang, insya-Allah.

Sabtu, 25 Jun 2011

Mencari ketenangan

Menulis bukan suatu perkara yang mudah. Ketenangan amat diperlukan untuk menulis. Ada masanya, idea untuk menulis ada tetapi tanpa ketenangan, idea di dalam minda sukar diterjemahkan dalam bentuk perkataan.

Bagi saya, ketenangan tidak boleh dibuat-buat tetapi ia boleh dirangsang menerusi ungkapan zikir, alunan irama yang indah, suasana persekitaran yang tenteram, bunyi-bunyian alam yang memukau dan sebagainya. Lain orang mempunyai cara yang berbeza untuk mencari ketenangan.

Saya perlukan ketenangan untuk menulis. Semoga ketenangan hadir dalam diri ini.

Sabtu, 18 Jun 2011

Berhenti menulis

Ada ketikanya mahu sahaja saya berhenti menulis.

Saya menulis kerana minat. Saya menulis kerana mahu berkongsi pemikiran.

Saya bukan penulis sepenuh masa. Saya juga bukan penulis profesional, sekadar penulis amatur yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Dunia penulisan juga bukan dunia saya mencari rezeki kerana saya ada pekerjaan tetap.

Saya bukan orang yang meletakkan harga apabila diminta membuat atau menyiapkan sesuatu. Saya akan membantu jika termampu. Kelemahan saya yang saya sendiri akui ialah saya tidak pandai menolak apabila ada yang meminta bantuan.

Jika saya salah, silakan tegur. Tetapi tegur secara bijaksana dan berhemah. Saya boleh menerima teguran tetapi berikan saya ruang untuk mempertahankan perkara yang dilakukan.

Jangan sampai saya menyesal menghulurkan bantuan kerana saya juga punya maruah.

Dan jangan sampai saya berhenti terus daripada menulis.

Selasa, 7 Jun 2011

Latar penceritaan fiksyen sains

Lazimnya kisah-kisah fiksyen sains menggunakan salah satu latar berikut:

  1. Masa hadapan yang sudah hancur (distopia)
  2. Masa hadapan yang sempurna (utopia)
  3. Latar angkasa lepas atau planet lain
  4. Masa lampau 
  5. Realiti silih ganti
Saya secara peribadi cenderung menggunakan latar realiti masa sekarang dengan menjukstaposisikan elemen fiksyen sains pada latar tersebut. Contohnya seperti kisah Transgenesis: Bisikan Rimba. Kisah ini menggunakan latar penceritaan zaman sekarang (dengan imbas kembali kepada zaman Perang Dunia Kedua) sambil melontarkan soalan apa akan berlaku sekiranya teknologi pengubahsuaian genetik manusia benar-benar wujud.

Saya gemarkan pendekatan ini kerana pendekatan ini menjadikan penceritaan nampak lebih realistik, dan saya suka meletakkan pembaca tertanya-tanya apakah mungkin teknologi itu sudah wujud. Ini ditambah dengan pencampuran fakta sains (perkara yang sememangnya wujud) dengan fiksyen sains (perkara yang belum tentu boleh berlaku atau tidak mungkin berlaku). Melalui cara ini, saya mengajak pembaca berfikir untuk membezakan antara perkara realiti dan perkara fiksyen.

Insya-Allah, di dalam sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba nanti, saya akan mengekalkan pendekatan penceritaan yang sama.

[Sebagai tambahan, penceritaan filem "X-Men: First Class" juga menggunakan pendekatan yang sama apabila meletakkan elemen fiksyen sains di celah-celah sejarah yang memang berlaku.]

Ahad, 29 Mei 2011

Kembali berkarya Jun ini

Alhamdulillah, penulisan tesis doktorat telah berjaya diselesaikan. Sekurang-kurangnya satu beban terasa "diangkat". Ringan sedikit rasa bahu ini.

Ini juga bermakna saya mempunyai lebih masa, insya-Allah, untuk kembali berkarya. Insya-Allah bermula pada bulan Jun yang akan bermula tidak lama lagi, saya akan menyambung semula penulisan sambungan kisah Transgenesis: Bisikan Rimba. Doakan semoga saya diberikan kekuatan dan kesihatan.

Sabtu, 21 Mei 2011

Di Bawah Panji-panji Hitam

Bakal menemui pembaca sedikit masa lagi dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris tulisan L. Ron Hubbard yang judul asalnya Under the Black Ensign. Versi bahasa Melayu ini diterjemahkan oleh saya dengan judul Di Bawah Panji-panji Hitam. Kisah ini ialah sebuah kisah lanun pada zaman British dan Sepanyol masih lagi sebuah empayar yang menguasai samudera.

Ada tiga lagi judul yang diterjemahkan seperti berikut:

  1. Budak Hingusan terjemahan Mohd Rezuan Masran. Judul asal The Chee Chalker.
  2. Pembunuh Perisik terjemahan Muhammad Zaki Ramli. Judul asal Spy Killer.
  3. Seandainya Aku Kamu terjemahan Naziah Omar. Judul asal If I Were You.
Maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik judul-judul ini berada di pasaran.

Rabu, 16 Mac 2011

Projek penterjemahan karya L. Ron Hubbard

Seperti yang pernah dicatatkan sebelum ini, saya merupakan salah seorang penterjemah yang menterjemahkan karya klasik L. Ron Hubbard di bawah Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Inisiatif penerbit ini ada dihebahkan di dalam akhbar tidak lama dahulu (pautannya di sini). Insya-Allah karya yang diterjemahkan ini akan diterbitkan oleh penerbit ini tidak lama lagi.

Fasa pertama projek ini melibatkan empat judul. Judul yang saya terjemahkan ialah sebuah kisah lanun iaitu Under the Black Ensign.

Nantikan versi bahasa Melayu bagi novel ini.

Selasa, 15 Mac 2011

Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim II

Petang tadi saya berkesempatan menghadiri pelancaran Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi kali kedua bertempat di Kampus Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Seperti juga sayembara yang pertama, sayembara kali ini dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia dan Kumpulan Utusan.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai sayembara ini, maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman web Penerbit UTM dan juga portal Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Ayuh, mari meriahkan sayembara ini.

Lagi mengenai sayembara di sini.

Sabtu, 5 Februari 2011

Perkembangan terbaharu

Assalamualaikum buat pembaca dan pengikut blog yang saya hormati dan kasihi,

Saya memohon maaf kerana terlalu lama menyepikan diri. Dalam tempoh kurang lebih enam bulan menyepi ini, ada beberapa perkembangan baharu kegiatan penulisan saya yang ingin saya kongsikan di sini.

Pertama, cerpen berjudul "Mencari cahaya di bumi sakura" telah terbit di dalam majalah Dewan Sastera keluaran Julai 2010. Di dalam majalah yang sama, terdapat juga ulasan novel Transgenesis: Bisikan RImba dan juga satu artikel yang saya tulis berjudul "Apabila saintis menulis novel".

Kedua, cerpen yang telah lama saya tulis berjudul "Kilt dan kimono" akhirnya terbit. Terima kasih kepada Dewan Siswa keluaran November 2010 yang menerbitkan cerpen ini.

Ketiga, saya sekarang ini sedang giat menyiapkan terjemahan sebuah novel Inggeris klasik karya L. Ron Hubbard. Projek penterjemahan di bawah Utusan Publications & Distributors ini ada diuar-uarkan menerusi media baru-baru ini (baca menerusi pautan ini). Tarikh akhir yang diberikan kepada saya ialah 4 Mac 2011 ini. Insya-Allah terjemahan yang diamanahkan kepada saya akan diselesaikan mengikut jadual yang diberikan. Cuma buat masa ini, saya belum dapat menyatakan judul yang saya sedang terjemah ini.

Keempat, dan saya kira perkara yang paling banyak ditanya kepada saya sepanjang tempoh saya menyepi, iaitu mengenai sambungan kisah Transgenesis: Bisikan Rimba. Sukar untuk saya memberikan jawapan bagi soalan ini sebenarnya. Saya masih menulis tetapi tidak sepantas yang saya mahukan. Beberapa minggu lalu, saya dimaklumkan yang PTS Fortuna iaitu imprint di bawah PTS Publications & Distributors yang menerbitkan novel ini sedang dalam proses rombakan dan penjenamaan semula. Saya difahamkan bahawa novel-novel genre fiksyen sains akan diberikan pendekatan dan nafas baharu di bawah penjenamaan semula ini. Walau bagaimanapun, saya belum dimaklumkan apakah pendekatan yang diguna pakai dan sejauh manakah ia akan memberi kesan kepada gaya penulisan saya. Saya masih menantikan pertemuan dengan pasukan baharu PTS Fortuna, dan difahamkan satu pertemuan akan diatur pada bulan ini insya-Allah. Jadi sehingga persoalan-persoalan ini terlerai, saya merehatkan seketika penulisan sambungan kisah Flora ini.

Sekadar, mungkin saya boleh nyatakan di sini, cadangan judul sambungan ini ialah "Transgenes2s: Mawar tanpa kuntum".

Rasanya itu dahulu perkembangan yang boleh saya kongsikan di dalam blog ini. Mohon maaf kepada semua yang menanti dengan setia. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan selama ini. Insya-Allah kita bertemu lagi di ruangan siber ini.