Sabtu, 22 Disember 2012

Ulasan "Detik" di Mingguan Malaysia

Alhamdulillah, pada hari Ahad yang lalu (16 Disember 2012), akhbar Mingguan Malaysia melalui sisipannya PancaWarna menyiarkan ulasan novel Detik. Ulasan bertajuk "Natijah Melanggar Fitrah" ini ditulis oleh Puan Nor Azida Ishak.

Khamis, 13 Disember 2012

Ulasan pertama "Detik"

Sebenarnya ulasan ini keluar pada hari Isnin lalu. Ulasan ini ditulis oleh teman novelis yang juga editor Dewan Sastera, Tuan Fadli Al-Akiti.

Saya sertakan pautan ulasan dengan tajuk "Detik Mesin Masa" ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Fadli atas pandangan yang diberikan.

Selasa, 11 Disember 2012

Apa kata panel hakim mengenai "Detik"?

Penganjur Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan musim kedua ada menerbitkan sebuah buku kecil berjudul Mengitari Orbit Sayembara sebagai bahan iringan kepada novel-novel yang diterbitkan. Di dalam buku kecil ini diperincikan, antara lain, mengenai proses penghakiman dan analisis karya pemenang. Bagi saya, buku kecil ini amat berguna kepada sesiapa sahaja yang mahu menyertai sayembara seperti ini untuk memahami proses penilaian dan kriteria-kriteria yang diguna pakai bagi menentukan pemenang.

Antara petikan di dalam buku kecil ini mengenai novel Detik:
Selain itu, salah satu teknologi menarik yang jarang-jarang diterokai oleh penulis lain dibawa dalam "Detik". Takion atau partikel takionik ialah sejenis partikel yang mengikut hipotesis boleh bergerak lebih pantas dari cahaya... Lari daripada penciptaan sedia ada, takion yang digunakan dalam "Detik" berfungsi untuk menerobos masa. Aplikasi baharu ini berupaya mencetuskan polemik dan menarik minat ahli teknologi untuk cuba menzahirkan alat yang dicadangkan. Suatu hari nanti, tidak mustahil mesin penjelajahan masa berasaskan takion akan tercipta dan kemudian menjadi lumrah. Walaupun pencapaian anak Malaysia dalam teknologi ini bersifat imaginatif, inilah yang diharapkan oleh penganjur supaya teknologi baharu dicipta oleh penulis dalam karya mereka." (Halaman 32-35). 
"Detik" mengangkat idea tentang pengembaraan dalam ruang masa. Manusia mempunyai kebolehan dan pengetahuan yang mencukupi untuk merealisasikan impian bergerak dalam ruang masa terasuk untuk melakukan sesuatu sekalipun terpaksa menentang fitrah manusia. Maka, "Detik" yang memaparkan eksperimen ahli sains menguasai perpindahan jasad dalam ruang masa sebagaimana yang diterokai oleh Profesor Dr. Sa'at Akheer melalui Projek Kronos, dengan bantuan rakan-rakan penyelidiknya Dr. Jamilah, Dr. Harichandran dan Dr. May Neat akhirnya menjadi sia-sia... Pengarang dengan halus merumuskan kesilapan manusia menentang kejadian Tuhan dengan membiarkan Makmal Projek Kronos terbakar. (Halaman 43-44). 
Dalam "Detik" pengarang bijak membina struktur naratifnya. Cerita yang dimulakan dengan cebisan kertas amaran kematian Awwal sudah berjaya membina rasa ingin tahu. Setiap peristiwa dalam jaluran plotnya dibina secara fungsional, ertinya tiada unsur yang membazir. Susunan peristiwa tertib, dan cerita bergerak secara sempurna dari tahap ke tahap melalui hubungan sebab dan akibat. Keseimbangan yang diperagakan membuktikan berlakunya pertukangan kreatif yang dirancang di sebalik penggarapannya. (Halaman 44-45).

Saya mengharapkan agar petikan-petikan di atas menjadi "pembuka selera" bagi penggemar novel untuk mendapatkan novel Detik. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan yang membina demi memperbaiki mutu penulisan saya.

Isnin, 10 Disember 2012

Detik itu muncul juga

Alhamdulillah.

Selepas beberapa kali tertangguh, akhirnya keputusan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan musim kedua telah diumumkan tanggal 6 Disember 2012 yang lalu. Angin-angin yang bertiup asalnya membawa khabar yang keputusan sepatutnya diumumkan pada bulan Jun, sebelum ditangguh ke bulan Oktober, dan akhirnya menjadi kenyataan minggu lalu.

Kali ini tidak ada pemenang hadiah utama. Hadiah kedua diperoleh oleh orang lama sayembara, Sri Rahayu Mohd Yusop dengan karya Equilibria. Karya saya iaitu Detik dianugerahkan tempat ketiga. Sementara itu, pemenang utama musim pertama iaitu Amer Hmzah L. Kadir dengan karya ID berserta dua lagi karya iaitu Bekamorfosis karya Jali Haji Kenoi dan Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor memperoleh hadiah penghargaan oleh penganjur. Di samping itu, penganjur juga menganugerahkan Hadiah Galakan kepada Faridah Abdul Hamid untuk karya "Timpani" (walaupun karya ini tidak diterbitkan.

Memandangkan sayembara ini dianjurkan bersama oleh Kumpulan Utusan, maka pastinya akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia memberikan liputan acara ini. Saya menemui tiga artikel berikut:


Saya bersyukur kerana penyertaan pertama saya di dalam mana-mana sayembara membuahkan hasil. Idea menghasilkan Detik timbul pada tahun 2008, namun perkembangan penulisannya agak perlahan. Hanya pada tahun 2010 baru saya mula menulis novel ini sebelum disiapkan pada akhir tahun 2011.

Kini, Detik sudah berada di pasaran. Dapatkan naskhah anda.

Sabtu, 18 Ogos 2012

Salam Aidilfitri 1433 Hijriyyah

Dengan menjelangnya 1 Syawal tidak lama lagi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri, dan maaf zahir dan batin.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga kita dipertemukan lagi dengan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun hadapan. Semoga Ramadan pada tahun ini membawa keberkatan dan kerahmatan serta kebebasan dari api neraka.

Didoakan semoga kedatangan 1 Syawal pada tahun ini mengeratkan silaturrahim sesama kita dan membawa kebahagiaan bagi masa-masa akan datang, insya-Allah.

Kepada yang memandu ke kampung halaman, didoakan semoga perjalanan lancar dan selamat. 

Khamis, 5 Julai 2012

Edisi ADOI

ADOI?

Sengaja saya letakkan istilah itu. Sebenarnya, ADOI yang saya maksudkan ialah kependekan bagi "Akan Datang Oktober Ini".

Apakah yang akan datang Oktober ini?

Novel terbaharu saya.

Walau bagaimanapun, buat masa ini saya terpaksa merahsiakan dahulu judulnya atas permintaan penerbit. Judulnya masih diembargo. Kisahnya juga masih diembargo.

Cuma yang saya boleh berikan ialah draf kulit hadapan novel ini dengan judulnya ditutup. Harap ini boleh memberikan sedikit rasa keterujaan.

Sekurang-kurangnya ini menjadi penyuntik semangat kepada saya.

Selasa, 3 April 2012

Sedu seketika

Seperti yang semua maklum, Transgenesis: Bisikan Rimba diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd di bawah imprint PTS Fortuna. Novel kedua saya ini terbit pada tahun 2008 yang lalu. Imprint PTS Fortuna juga sudah tidak ada sekarang kerana telah dijenamakan semula sebagai sebuah anak syarikat PTS iaitu PTS Pop.

Sememangnya kisah ini saya rangka supaya menjadi sebuah trilogi. Bagaimanapun, disebabkan fokus saya kepada tesis PhD, maka penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi perlahan. Alhamdulillah, sambungan kisah ini telah saya siapkan pada tahun ini. Mengikut prosedurnya, saya perlu menghantar kertas cadangan kepada pihak penerbit. Kertas cadangan tersebut diserahkan pada awal bulan Mac yang lalu.

Saya baru dimaklumkan bahawa cadangan bagi sekuel Transgenesis ini telah ditolak oleh penerbit. Saya mendapat gambaran bahawa fokus penerbit ialah kepada genre-genre yang lebih menguntungkan (atau dalam istilah yang dipopularkan oleh penerbit, "laku keras"). Dari segi jualan, Transgenesis: Bisikan Rimba tidak meletup. Jualannya biasa-biasa sahaja (walaupun diulang cetak sekali kerana pembelian terus oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2009 yang lalu).

Walaupun sedikit kecewa, saya tetap menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Sebagai penerbit, sudah tentu pertimbangan ekonomi menjadi pertimbangan paling utama. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap yang berlaku memang ada hikmahnya. Ini hanya cabaran sementara yang boleh diatasi, ibarat tersentak seketika akibat sedu yang berlaku tiba-tiba.

Cuma, saya harap para pembaca dapat bersabar sedikit masa lagi dalam menghadapi perkembangan terbaharu ini. Saya perlu menimbangkan beberapa pilihan yang ada bagi menerbitkan sambungan Transgenesis. Pilihan yang ada (yang dapat difikirkan buat masa ini) ialah sama ada mencari penerbit lain atau menerbitkan sendiri novel ini.

Sementara itu saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada PTS Publications & Distributors atas kepercayaan yang diberikan menerusi penerbitan Transgenesis: Bisikan Rimba pada tahun 2008 yang lalu. Novel ini telah menjadikan nama "Amir Husaini" sinonim dengan genre fiksyen sains.

Rabu, 21 Mac 2012

Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Ali Majod

Petang semalam, saya menerima berita kematian Tuan Haji Ali Majod, seorang penulis buku kanak-kanak dan awal remaja yang pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terus-terang saya katakan yang saya tidak pernah bertemu atau bersua muka dengan Allahyarham sebelum ini. Saya hanya mengenali Allahyarham daripada rakan-rakan yang pernah bertugas dengan Allahyarham.

Walaupun saya tidak pernah mengenali Allahyarham secara dekat, Allahyarham sebenarnya telah meninggalkan satu kesan yang amat besar dalam hidup saya sebagai seorang penulis kreatif.

Saya siap menulis manuskrip novel pertama saya sekitar tahun 1998. Pada waktu itu, saya teragak-agak untuk menghantarkan manuskrip itu kepada mana-mana penerbit kerana kurang yakin dengan kualiti penulisan sendiri. Seorang sahabat yang pernah bertugas di DBP memberikan manuskrip dengan tajuk Ombak Senja itu kepada Allahyarham untuk diulas.

Berikut ulasan Allahyarham yang masih saya simpan sehingga hari ini:

Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.

Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya. 

Saya sebenarnya terhutang budi kepada Allahyarham Haji Ali Majod. Jika tidak kerana ulasannya ini, saya fikir saya mungkin akan terus memendam manuskrip Ombak Senja, dan mungkin juga tidak menulis Transgenesis: Bisikan Rimba dan cerpen-cerpen yang lain. Mungkin perjalanan hidup saya sebagai penulis dengan nama pena "Amir Husaini" tidak berlaku.

Saya amat menghargai suntikan semangat yang diberikan oleh Allahyarham. Walaupun tidak pernah bertemu muka, suntikan semangat ini amat besar maknanya kepada saya.

Semoga roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Al-Fatihah.