Halaman

Jumaat, 11 Jun 2010

Permulaan baharu di blog baharu

Saya mulakan catatan pertama di blog ini dengan kalimah salam, "assalamualaikum", kepada semua pembaca yang amat saya hormati.

Pertama sekali, saya ingin memohon ampun dan maaf kerana terlalu lama mendiamkan diri dari dunia blog. Ini kerana, antara lain, hambatan tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Walaupun demikian, tuan/puan boleh menemui saya di halaman Facebook di bawah nama sebenar saya seperti yang tertera di sebelah.

Saya menyepi juga kerana memberikan tumpuan kepada proses penulisan tesis doktorat saya yang saya sasarkan untuk disiapkan pada tahun ini juga. Penulisan tesis doktorat ini, tidak dapat tidak, menyebabkan saya kurang meladeni dunia blog. Ini juga antara sebab mengapa penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba tergendala seketika.

Dengan rasa rendah diri dan ikhlas, saya memohon maaf kepada pembaca-pembaca yang setia menanti. Untuk makluman, saya sudah mulakan penulisan. Saya anggarkan 25% daripada kisah sambungan ini telah saya tulis. Saya mahukan sambungan ini lebih baik berbanding kisah pertama. Justeru, saya melakukan banyak proses penulisan semula bagi sambungan ini.

Terus terang saya katakan, ada ketikanya saya terasa seperti hilang dorongan untuk menulis. Ada masanya saya tertanya-tanya jika pembaca benar-benar menantikan sambungan kisah yang saya garapkan ini. Ada saatnya juga saya gagal menterjemahkan kisah saya dalam bentuk ayat-ayat.

Itu cabaran yang saya hadapi sebagai penulis. Kadang-kadang, dorongan dan motivasi datang dari sumber yang tidak disangka-sangka. Sepanjang tempoh enam bulan yang lalu, saya banyak juga melakukan muhasabah. Saya juga berkelana untuk mencari andai ada penyelesaian kepada cabaran yang saya hadapi ini.

Hampir dua minggu saya kembali ke bumi England dan Scotland dalam musim dingin yang membeku dengan salji putih pada akhir Disember lalu. Saya kembali ke sana kerana di situ (atau lebih tepat lagi, di Glasgow) ialah tempat saya mula mengasah pena sang penulis. Ketika itu, saya berharap saya akan bertemu semangat menulis saya apabila saya menjejakkan kaki ke bumi Scotland. Ya, saya terasa seperti disuntik kekuatan baharu. Dalam meniti nostalgia kenangan lama, saya berasa seperti diperingatkan kenapa saya terjun ke dunia penulisan.

Pada bulan April yang lalu pula, atas sebab tugasan rasmi, saya berkelana pula hampir tiga minggu di bumi sakura, Jepun. Saya menjelajah hampir 2/3 Pulau Honshu, dari Nagaoka (tempat paling utara saya lawati) hingga ke Ube (tempat paling selatan saya singgah). Berlatarbelakangkan bunga sakura yang mekar berkembang, dan suasana budaya yang begitu asing bagi saya, saya sekali lagi melalui proses suntikan semangat bagi meneruskan kegiatan menulis ini. Di situ juga, saya bertemu dengan beberapa orang pelajar yang secara tidak langsung menggalakkan saya supaya terus menulis.

Balik dari berkelana, saya kembali ke rutin biasa di pejabat, universiti dan rumah. Berbekalkan semangat baharu ini, saya menanam iltizam untuk menyiapkan tesis doktorat saya dan juga sambungan kepada kisah Flora yang telah lama saya janjikan.

Ya. Janji akan saya tunaikan insya-Allah.

Doakan supaya saya terus diberikan kekuatan. Doakan supaya saya terus diberikan fokus dalam menyiapkan semua ini.

Saya tidak katakan ia sesuatu yang mudah. Namun, saya tidak akan mengalah. Doa kalian mampu mendorong saya mengatasi cabaran-cabaran seorang penulis, insya-Allah.

Semoga penghijrahan ke blog baharu ini sedikit sebanyak membuka lembaran baharu bagi kita terus melangkah ke hadapan. Sudi-sudikan singgah di sini dari semasa ke semasa. Insya-Allah akan ada catatan-catatan baharu di sini.

Tiada ulasan: