Halaman

Selasa, 3 April 2012

Sedu seketika

Seperti yang semua maklum, Transgenesis: Bisikan Rimba diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd di bawah imprint PTS Fortuna. Novel kedua saya ini terbit pada tahun 2008 yang lalu. Imprint PTS Fortuna juga sudah tidak ada sekarang kerana telah dijenamakan semula sebagai sebuah anak syarikat PTS iaitu PTS Pop.

Sememangnya kisah ini saya rangka supaya menjadi sebuah trilogi. Bagaimanapun, disebabkan fokus saya kepada tesis PhD, maka penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba menjadi perlahan. Alhamdulillah, sambungan kisah ini telah saya siapkan pada tahun ini. Mengikut prosedurnya, saya perlu menghantar kertas cadangan kepada pihak penerbit. Kertas cadangan tersebut diserahkan pada awal bulan Mac yang lalu.

Saya baru dimaklumkan bahawa cadangan bagi sekuel Transgenesis ini telah ditolak oleh penerbit. Saya mendapat gambaran bahawa fokus penerbit ialah kepada genre-genre yang lebih menguntungkan (atau dalam istilah yang dipopularkan oleh penerbit, "laku keras"). Dari segi jualan, Transgenesis: Bisikan Rimba tidak meletup. Jualannya biasa-biasa sahaja (walaupun diulang cetak sekali kerana pembelian terus oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2009 yang lalu).

Walaupun sedikit kecewa, saya tetap menerima berita ini dengan hati yang terbuka. Sebagai penerbit, sudah tentu pertimbangan ekonomi menjadi pertimbangan paling utama. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap yang berlaku memang ada hikmahnya. Ini hanya cabaran sementara yang boleh diatasi, ibarat tersentak seketika akibat sedu yang berlaku tiba-tiba.

Cuma, saya harap para pembaca dapat bersabar sedikit masa lagi dalam menghadapi perkembangan terbaharu ini. Saya perlu menimbangkan beberapa pilihan yang ada bagi menerbitkan sambungan Transgenesis. Pilihan yang ada (yang dapat difikirkan buat masa ini) ialah sama ada mencari penerbit lain atau menerbitkan sendiri novel ini.

Sementara itu saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada PTS Publications & Distributors atas kepercayaan yang diberikan menerusi penerbitan Transgenesis: Bisikan Rimba pada tahun 2008 yang lalu. Novel ini telah menjadikan nama "Amir Husaini" sinonim dengan genre fiksyen sains.

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tidak mengapa, AmirHusaini. betul tu,setiap yang berlaku, ada hikmahnya. Kami peminat2 mendoakan yang terbaik buat AmirHusaini.

Masdalifadzlie M Saaid berkata...

Assalamualaikum tuan,

Saya adalah penulis Pendeta Gua Khayalan. Novel sambungannya, Duyung Pulau Kenchana juga menerima nasib yang sama seperti novel kedua Transgenesis. Benar, PTS tidak lagi menerbitkan novel-novel fiksyen sains dan fantasi.

Nasihat saya, terbitkan sendiri. Dengan sedikit modal, saya menerbitkan sendiri Duyung Pulau Kenchana dan alhamdulillah, saya puas hati dengan rekod jualan. Setiap pembelian saya rekodkan pembelinya, maka novel ketiga nanti, saya hanya perlu menghubungi mereka.

Saya bersedia membantu sekiranya tuan memerlukan nasihat dan tunjuk ajar. Saya juga bersedia menolong menjualkannya di www.gapuraloka.com.

Harapan saya tuan tidak putus asa mengangkat penulisan genre terpinggir ini ke persada kesusasteraan negara. Sudah lama saya menantikan novel sambungan Transgenesis.

Ikhlas.

Night Aves berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Night Aves berkata...

Assalamualaikum. Saya di antara pembeli awal yang membeli novel Transgenesis ini. Dan bagi saya ia sangat menarik!

Masalah saudara-saudara juga sama seperti seorang lagi novelis thriller yang menerbitkan novelnya atas nama PTS. Khairul Nizam Khairani (Kudeta, Anarkis).

Dan saya ternanti-nantikankan sambungan Transgenesis ini dan sentiasa mengikuti perkembangan saudara sejak dari blog saudara yang lama lagi.

Seperti yang saudara Masdaflifadzlie M. Said katakan, saya telah membeli novel Duyung Pulau Kenchana tulisannya secara maya. Mungkin saudara boleh bekerjasama dengan saudara Masdalifadzlie dalam memasarkan karya-karya saudara.

Unknown berkata...

Saya tetap akan tgu sekual transgenesis..harap penulis dpt menerbitkan sekual ini...terima kasih22

Tanpa Nama berkata...

Salam....
saya harap penulis tidak putus asa dengan sambungan novel transgenesis. saya sangat berharap penulis dapat menerbitkan sambungan novel tersebut. plz...

Unknown berkata...

Salam, saya tahu post ini sudah sangat lama. Baru teringat kembali mengenai novel saudara. Sungguh, terima kasih saya ucapkan kerana Transgenesis lah yang telah menyelamatkan persepsi mengenai novel Melayu dalam hidup saya. Dalam lambakan buku yang 'meh', masih terselit karya yang berkualiti sebegini. Sudah adakah sambungannya? Bertahun lama menanti, masih mengharapkan sekuel Transgenesis. Kalau tiada, keberatankah saudara untuk berkongsi secara terbuka karya tersebut? Tapi jujur masih mengharapkan karya bercetak. Andai kata memang sudah dijual harapnya boleh beri tahu maklumatnya ke email saya: nur_amalina1195@yahoo.com

Terima kasih Amir Husaini :)

jutawantopup2u berkata...

Assalamualaikum encik, bagaimana caranya untuk saya dapatkan buku transgenesis bisikan rimba?

jutawantopup2u berkata...

Assalamualaikum encik, bagaimana caranya untuk saya dapatkan buku transgenesis bisikan rimba?

Tanpa Nama berkata...

salam alaikum... sambungan transgenesis sudah ada yang terbaru atau belum ya? saya belia belasan tahun yang menantikan kesinambungan trilog transgenesis Bisikan rimba ini....