Halaman

Ahad, 20 Jun 2010

Apa agaknya tajuk yang sesuai?

Sekadar meninjau pandangan pembaca. Apa agaknya tajuk kecil yang sesuai bagi "Transgenesis 2"? Seperti yang semua maklum, bahagian pertama menampilkan tajuk kecil "Bisikan Rimba". Ada sebarang cadangan?

Sabtu, 12 Jun 2010

Info sains: Apa itu transgenesis?

Ramai juga yang mengajukan soalan "apa itu transgenesis" kepada saya. Saya fikir istilah ini mungkin kurang digunakan dalam masyarakat kita. Saya akan cuba memberikan penerangan dalam bahasa yang semudah mungkin mengenai perkara ini.

"Transgenesis" sebenarnya gabungan dua istilah iaitu trans dan genesis.

Istilah trans ialah satu kata awalan yang berasal daripada perkataan Latin, yang boleh disambungkan kepada banyak perkataan lain. Perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang lazim kita temui dengan awalan trans ialah seperti transport, transform, transit, transfer, transcript dan lain-lain. Di dalam bahasa Melayu juga, awalan trans boleh digunakan terutamanya bagi istilah-istilah pinjaman seperti transit, transkrip, transgender, transplan dan sebagainya. Berbalik kepada istilah trans itu sendiri, ia membawa maksud "melalui", "melangkaui" atau "melampaui" sesuatu.

Istilah genesis pula, mungkin secara perbandingannya, lebih biasa didengar oleh masyarakat kita, walaupun mungkin ramai yang tidak mengambil enteng akan maksudnya. Istilah ini boleh ditakrifkan sebagai "proses yang membawa kepada kewujudan".

Apabila digabungkan kedua-dua istilah ini, maka wujud istilah "transgenesis" yang membawa maksud "proses memasukkan gen (bahan baka) asing ke dalam organisma hidup supaya organisma itu mempunyai sifat baka baharu yang boleh diperturunkan kepada generasi berikutnya". Foto di atas menunjukkan proses memasukkan gen asing ke dalam embrio tikus.

Gen asing yang dimasukkan ke dalam organisma ini juga dipanggil transgene atau transgen dalam bahasa Melayu.

Organisma yang mempunyai transgen ini dipanggil organisma transgenik.

Jika dilihat kepada premis kisah Transgenesis: Bisikan Rimba, watak "Flora" ialah manusia transgenik yang mempunyai transgen daripada tumbuhan.

Saya berharap penerangan ringkas ini mampu merungkai dan memberikan sedikit maklumat berguna kepada pembaca. Saya lihat karya-karya fiksyen sains, jika ditulis dengan baik, mampu memberikan kefahaman mengenai fakta-fakta sains. Itu sebenarnya yang saya cuba lakukan menerusi penulisan saya khususnya kisah Transgenesis: Bisikan Rimba ini. Sama ada saya berjaya atau gagal melakukan perkara ini, saya serahkan kepada pembaca sekalian untuk menilainya.

Projek penulisan

Walaupun saya "menyepi" dari dunia blog untuk satu waktu yang agak lama, saya sebenarnya tidak berhenti dari menulis.

Seperti yang saya coretkan di dalam catatan sebelum ini, saya sedang giat menulis sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba yang saya harap mampu saya siapkan sebelum berakhir tahun ini. Mungkin, dan ini satu doa daripada saya, sambungan ini akan menemui peminat pada awal 2011 nanti. Insya-Allah akan diterbitkan oleh PTS Fortuna juga seperti Transgenesis: Bisikan Rimba. Buat masa ini, saya merujuk kepada sambungan kisah ini sebagai "Transgenesis 2". Saya belum dapat memikirkan judul yang lebih lengkap. Andai ada yang punya cadangan, harap dapat dipanjangkan kepada saya. Status: 25% siap ditulis.

Saya juga sedang menyiapkan, pada waktu senggang yang agak terhad, sebuah lagi novel. Genre novel ini masih fiksyen sains. Tajuk tentatif ialah "Detik". Saya belum putuskan ke mana akan dihantar naskhah ini apabila siap nanti. Status: 30% siap ditulis.

Kira-kira dua bulan yang lalu, saya juga mendapat undangan menulis cerpen daripada Dewan Sastera. Terus terang saya katakan, saya sebenarnya lebih selesa menulis novel berbanding cerpen. Namun, atas permintaan, saya telah usahakan satu cerpen bertajuk "Mencari Cahaya di Bumi Sakura", yang insya-Allah akan terbit di dalam keluaran Dewan Sastera bulan Julai nanti.

Susulan daripada cerpen ini, pada hari Khamis yang lepas, saya telah mendapat panggilan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengundang saya menulis dua cerpen lagi. Satu bagi Dewan Siswa dan satu lagi bagi Dewan Kosmik. Insya-Allah saya akan cuba tunaikan undangan menulis ini.

Satu kisah yang sudah saya siap tulis sepenuhnya ialah "Menagih Janji Langit Malam". Kisah ini terlalu panjang untuk cerpen dan terlalu pendek untuk novel. Saya masih menyimpan manuskrip ini, dan saya tidak pasti kepada siapa perlu dihantar kisah ini. Sahabat penulis, Hani Ismail, mencadangkan supaya saya mengembangkan kisah ini supaya menjadi novel yang sesuai untuk bacaan remaja. Mungkin cadangan beliau ini yang paling baik untuk saya terokai nanti.

Itulah sedikit sebanyak projek penulisan yang sudah siap, sedang diusahakan dan bakal dimulakan. Doakan semoga saya diberikan ilham, kesihatan dan kekuatan untuk terus berkarya.

Jumaat, 11 Jun 2010

Permulaan baharu di blog baharu

Saya mulakan catatan pertama di blog ini dengan kalimah salam, "assalamualaikum", kepada semua pembaca yang amat saya hormati.

Pertama sekali, saya ingin memohon ampun dan maaf kerana terlalu lama mendiamkan diri dari dunia blog. Ini kerana, antara lain, hambatan tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul. Walaupun demikian, tuan/puan boleh menemui saya di halaman Facebook di bawah nama sebenar saya seperti yang tertera di sebelah.

Saya menyepi juga kerana memberikan tumpuan kepada proses penulisan tesis doktorat saya yang saya sasarkan untuk disiapkan pada tahun ini juga. Penulisan tesis doktorat ini, tidak dapat tidak, menyebabkan saya kurang meladeni dunia blog. Ini juga antara sebab mengapa penulisan sambungan kepada Transgenesis: Bisikan Rimba tergendala seketika.

Dengan rasa rendah diri dan ikhlas, saya memohon maaf kepada pembaca-pembaca yang setia menanti. Untuk makluman, saya sudah mulakan penulisan. Saya anggarkan 25% daripada kisah sambungan ini telah saya tulis. Saya mahukan sambungan ini lebih baik berbanding kisah pertama. Justeru, saya melakukan banyak proses penulisan semula bagi sambungan ini.

Terus terang saya katakan, ada ketikanya saya terasa seperti hilang dorongan untuk menulis. Ada masanya saya tertanya-tanya jika pembaca benar-benar menantikan sambungan kisah yang saya garapkan ini. Ada saatnya juga saya gagal menterjemahkan kisah saya dalam bentuk ayat-ayat.

Itu cabaran yang saya hadapi sebagai penulis. Kadang-kadang, dorongan dan motivasi datang dari sumber yang tidak disangka-sangka. Sepanjang tempoh enam bulan yang lalu, saya banyak juga melakukan muhasabah. Saya juga berkelana untuk mencari andai ada penyelesaian kepada cabaran yang saya hadapi ini.

Hampir dua minggu saya kembali ke bumi England dan Scotland dalam musim dingin yang membeku dengan salji putih pada akhir Disember lalu. Saya kembali ke sana kerana di situ (atau lebih tepat lagi, di Glasgow) ialah tempat saya mula mengasah pena sang penulis. Ketika itu, saya berharap saya akan bertemu semangat menulis saya apabila saya menjejakkan kaki ke bumi Scotland. Ya, saya terasa seperti disuntik kekuatan baharu. Dalam meniti nostalgia kenangan lama, saya berasa seperti diperingatkan kenapa saya terjun ke dunia penulisan.

Pada bulan April yang lalu pula, atas sebab tugasan rasmi, saya berkelana pula hampir tiga minggu di bumi sakura, Jepun. Saya menjelajah hampir 2/3 Pulau Honshu, dari Nagaoka (tempat paling utara saya lawati) hingga ke Ube (tempat paling selatan saya singgah). Berlatarbelakangkan bunga sakura yang mekar berkembang, dan suasana budaya yang begitu asing bagi saya, saya sekali lagi melalui proses suntikan semangat bagi meneruskan kegiatan menulis ini. Di situ juga, saya bertemu dengan beberapa orang pelajar yang secara tidak langsung menggalakkan saya supaya terus menulis.

Balik dari berkelana, saya kembali ke rutin biasa di pejabat, universiti dan rumah. Berbekalkan semangat baharu ini, saya menanam iltizam untuk menyiapkan tesis doktorat saya dan juga sambungan kepada kisah Flora yang telah lama saya janjikan.

Ya. Janji akan saya tunaikan insya-Allah.

Doakan supaya saya terus diberikan kekuatan. Doakan supaya saya terus diberikan fokus dalam menyiapkan semua ini.

Saya tidak katakan ia sesuatu yang mudah. Namun, saya tidak akan mengalah. Doa kalian mampu mendorong saya mengatasi cabaran-cabaran seorang penulis, insya-Allah.

Semoga penghijrahan ke blog baharu ini sedikit sebanyak membuka lembaran baharu bagi kita terus melangkah ke hadapan. Sudi-sudikan singgah di sini dari semasa ke semasa. Insya-Allah akan ada catatan-catatan baharu di sini.