Halaman

Rabu, 21 Mac 2012

Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Ali Majod

Petang semalam, saya menerima berita kematian Tuan Haji Ali Majod, seorang penulis buku kanak-kanak dan awal remaja yang pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terus-terang saya katakan yang saya tidak pernah bertemu atau bersua muka dengan Allahyarham sebelum ini. Saya hanya mengenali Allahyarham daripada rakan-rakan yang pernah bertugas dengan Allahyarham.

Walaupun saya tidak pernah mengenali Allahyarham secara dekat, Allahyarham sebenarnya telah meninggalkan satu kesan yang amat besar dalam hidup saya sebagai seorang penulis kreatif.

Saya siap menulis manuskrip novel pertama saya sekitar tahun 1998. Pada waktu itu, saya teragak-agak untuk menghantarkan manuskrip itu kepada mana-mana penerbit kerana kurang yakin dengan kualiti penulisan sendiri. Seorang sahabat yang pernah bertugas di DBP memberikan manuskrip dengan tajuk Ombak Senja itu kepada Allahyarham untuk diulas.

Berikut ulasan Allahyarham yang masih saya simpan sehingga hari ini:

Struktur penceritaan:
Tiada masalah dalam teknik penceritaan manuskrip ini. Pengarang mengolah persoalannya dengan baik dan menarik. Plotnya berjalan lancar dan agak kompleks sifatnya kerana dibumbui oleh flash back di sana sini.
Konflik dibina dengan baik oleh pengarang. Terasa pengarang orang yang sudah berpengalaman menulis. Ini kerana struktur binaan novel muncul dengan baik sekali.
Watak dan perwatakan digambarkan dengan jelas dan dapat dibayangkan oleh pembaca sama seperti manusia berdarah dan berdaging - manusia biasa. Pelukisan perwatakan ini berjaya ditonjolkan oleh pengarang.
Penggunaan bahasanya juga baik. Amat serasi penggunaan bahasa dengan latar dan persoalan. Ada unsur-unsur falsafah lewat penggunaan bahasanya. Maka itu gerak watak dengan latar menjadi sangat jelas dan hidup.

Kesimpulan:
Manuskrip ini bagus dari segi persoalan, iaitu keagungan cinta. Dan teknik penceritaannya juga baik, bersahaja dan organik sifatnya. Ada unsur konflik yang mewarnai jalinan plotnya. 

Saya sebenarnya terhutang budi kepada Allahyarham Haji Ali Majod. Jika tidak kerana ulasannya ini, saya fikir saya mungkin akan terus memendam manuskrip Ombak Senja, dan mungkin juga tidak menulis Transgenesis: Bisikan Rimba dan cerpen-cerpen yang lain. Mungkin perjalanan hidup saya sebagai penulis dengan nama pena "Amir Husaini" tidak berlaku.

Saya amat menghargai suntikan semangat yang diberikan oleh Allahyarham. Walaupun tidak pernah bertemu muka, suntikan semangat ini amat besar maknanya kepada saya.

Semoga roh Allahyarham dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, insya-Allah.

Al-Fatihah.

Tiada ulasan: